Sabtu, 20 Juni 2009

INDAHNYA KESABARAN

Tajdid ImanBersama Dr Juanda Jaya
ANAS bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Telah berkata Jibril: “Wahai Tuhan, Engkau sampaikanlah maksud dan hajat hamba-Mu si polan… Maka, Allah menjawab: “Biarkan hamba-Ku itu, kerana Aku mencintai suaranya (yang selalu bermohon dan meratap kepada-Ku).”

Hadis itu begitu dalam maknanya iaitu mengenai hubungan dan rahsia antara hamba dengan Allah. Sesiapa pun tidak berhak mengganggu-gugat kekuatan cinta kedua-duanya. Disebabkan cinta manusia yang mengharap dan berdoa serta kerana rahmat-Nya juga, Dia merindui ratapan dan rayuan si hamba.
Adakah doa ini tiada didengar atau kekotoran roh yang menghijab kurniaan Allah? Tangisan dan rintihan rupanya tidak sia-sia, tetapi umpama bisikan rindu yang dikasihi al-Rahman.
Jika kita boleh memilih dan berkuasa atas kehidupan sendiri, segala-galanya akan tercipta sesuai dengan keinginan kita. Tetapi, kita tidak berhak atas hidup yang seperti ini. Kuasa mencipta dan memilih milik Allah.
Sebagai hamba yang lemah dan amat bergantung kepada belas ihsan-Nya, kita hanya boleh berusaha dan berdoa. Allah yang akan menentukan apa yang terbaik bagi diri kita. Firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkannya berlaku dan Dialah juga yang memilih, tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. Dan Tuhanmu Mengetahui daripada apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan.” (Surah al-Qasas, ayat 68-69)
Mengapa manusia cepat berputus asa ketika berdoa?
Bukankah doa itu adalah ujian keimanan bagi mereka yang bersungguh-sungguh bermujahadah. Alangkah ruginya orang yang berhenti berdoa kerana jemu menunggu dan menunggu harapan yang belum terjawab.
Bukankah doa Nabi Musa dan Harun pada ayat 88, Surah Yunus yang berisi mengenai permintaan kedua-duanya supaya Firaun dibinasakan, akhirnya terjawab setelah 40 tahun berdoa? Kalau kita tidak sesabar Nabi Allah Musa dan Harun, eloklah teliti hadis berikut ini.
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa telah bersabda Nabi SAW: “Tidak ada seorang Muslim yang membaca doa di mana tiada pada doanya itu hal yang menimbulkan dosa dan memutuskan hubungan silaturahim, melainkan Allah pasti akan memberikan kepada orang itu dengan doanya salah satu dari tiga macam. Ada kalanya Allah segera memperkenankan doanya. Ada kalanya doanya itu dijadikan oleh Allah sebagai simpanan pahala di akhirat. Dan ada kalanya Allah memalingkan dan menghindarkan sebarang kejahatan (bala dan bencana) daripada orang itu sesuai dengan doanya.”
Berkata sahabat: “Kalau begitu lebih baik kita memperbanyakkan doa!” Nabi SAW bersabda: “Allah akan memperbanyakkan pemberian-Nya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim, katanya semua perawinya adalah sahih)
Tidak sedikit pun kerugian jika kita sering memanjatkan doa. Yang pasti, tiga janji akan Allah berikan kepada yang bersungguh-sungguh berdoa.http://nurjeehan.wordpress.com/2007/02/09/hikmah-doa-penuh-kesabaran/

Identitas Blogger

Nama: Nur Melasari
NIM : 1085111104